Sunday, January 18, 2009

HMT 329: Tajuk: Perbandingan Hubungan Perkataan Dengan Makna Untuk Berita Bahasa Melayu Dan Bahasa Inggeris Dari Aspek Kata Relatif “Yang”. (Analisis

Tajuk: Perbandingan Hubungan Perkataan Dengan Makna Untuk Berita Bahasa Melayu Dan Bahasa Inggeris Dari Aspek Kata Relatif “Yang” dan "that". (Analisis Kontrastif Semantik)

1.0 Pendahuluan
Kami akan menjalankan kajian mengenai perbandingan hubungan perkataan dengan makna antara berita bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Kajian ini adalah tergolong dalam aspek sinonim antara interbahasa iaitu bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris.

Merujuk kamus dewan edisi keempat muka surat 1502, sinonim bermaksud kata yang sama atau hampir sama maknanya dengan kata lain. Sinonim juga bermaksud
kata seerti atau kata yang mempunyai sama maksud. Sebagai contoh perkataan jika sama ertinya dengan andai. Contoh lain ialah dekad dengan dasawarsa, atau tamadun dengan peradaban. (http://ms.wikipedia.org/wiki/Sinonim, 16 Januari 2009).
Menurut Yule 1996: 118; O’Grady, 2000: 225; Fromkin et all, 2003: 181; Finegan, 2004: 192; Kuiper and Allan, 2004: 54 dalam Radiah Yussoff dan Nor ‘Aini Ismail: 106:
“Sinonim bermaksud perkataan berlainan bentuk dari segi ejaan atau bunyi tetapi mempunyai makna yang sama atau hampir sama.”
Menurut Frank Parker dalam bukunya Linguistik Untuk Bukan Ahli Linguistik muka surat 48:
“dua perkataan dikatakan bersinonim sekiranya ia mempunyai maksud yang sama iaitu sekiranya ia mempunyai nilai-nilai yang sama dari segi fitur semantiknya.”

2.0 Tujuan
Tujuan kami menjalankan kajian ini ialah untuk melihat aspek sinonim dalam penggunaan kata antara bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Perbandingan yang kami jalankan ini melibatkan data yang didapati daripada akhbar dalam talian iaitu Bernama Online. Kami memfokuskan kajian kami terhadap aspek semantik dalam penggunaan kata relatif “yang” dalam bahasa Melayu dan “that” dalam bahasa Inggeris. Kajian kami ini adalah untuk melihat perbandingan atau analisis kontrastif dari aspek semantik antara kedua-dua bahasa.

3.0 Kaedah
Bagi menjalankan kajian ini kami menggunakan kaedah korpus textstat yang melibatkan konkordans dari empat artikel berita yang kami gunakan iaitu kami menggabungkan dua artikel dalam bahasa Inggeris dan dua artikel lagi dalam bahasa Melayu. Kemudian, kami melihat jumlah penggunaan kata dalam keempat-empat artikel tersebut melalui korpus excel yang dibina melalui textstat.

4.0 Analisis dan Dapatan
Berdasarkan kekerapan penggunaan kata dalam keempat-empat artikel yang telah kami gabungkan kami memilih untuk mengkaji kata relatif “yang”. Hal ini kerana kata relatif “yang” merupakan kata yang paling kerap muncul dalam data tersebut. Buktinya kata “yang” muncul sebanyak 46 kali dalam kedua-dua artikel yang berbahasa Melayu. Namun, dalam artikel bahasa Inggeris kata “yang” disebut sebagai “that” dan ianya muncul sebanyak 13 kali sahaja.
Menurut Tatabahasa Dewan, muka surat 240, kata relatif atau kata hubung pancangan relatif ialah kata yang berfungsi menghubungkan klausa utama dengan satu klausa kecil yang lain iaitu “yang”.
Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat muka surat 1811, kata “yang” bermaksud kata penghubung untuk menyatakan bahawa kata keterangan berikutnya dipentingkan atau menunjukkan kelainan.
Dalam bahasa Melayu, penggunaan kata “yang” adalah untuk menghubungkan sesuatu kata dengan kata lain untuk menghasilkan satu ayat yang sempurna dan gramatis. Buktinya dapat dilihat melalui contoh ayat dalam data yang diperolehi melalui artikel Bernama yang kami kaji. Contohnya, “hanya beberapa teksi sahaja yang berhenti untuk mengambil penumpang ke destinasi masing-masing.”

Manakala dalam bahasa Inggeris, kata “yang” digunakan sebagai “that” iaitu untuk merujuk kepada sesuatu atau seseorang yang tidak berdekatan atau yang berdekatan dengan penutur. (Oxford Advanced Learner’s Dictionary, 1531). Contohnya dapat dilihat melalui petikan dalam artikel Bernama yang kami kaji iaitu "Your city is big, but it seems that there are not many taxis around."

Berdasarkan maksud yang kami perolehi melalui sumber yang telah dinyatakan di atas terbukti bahawa penggunaan kata “yang” dalam bahasa Melayu dan kata “that” dalam bahasa Inggeris mempunyai fungsi kata yang sama iaitu kata yang menghubungkan sesuatu kata dalam ayat. Hal ini boleh dilihat melalui contoh ayat yang kami berikan di atas.

Berdasarkan data yang diperolehi, terbuktilah bahawa kata “yang” dalam bahasa Melayu dan kata “that” dalam bahasa Inggeris adalah bersinonim. Hal ini kerana kedua-dua kata ini mempunyai makna kata yang sama dan fungsi penggunaan yang sama. Hal ini terbukti melalui contoh ayat dalam data yang kami perolehi iaitu “hanya beberapa teksi sahaja yang berhenti untuk mengambil penumpang ke destinasi masing-masing.” Dalam bahasa Melayu dan kata "Your city is big, but it seems that there are not many taxis around" dalam bahasa Inggeris. Perbandingan contoh ayat ini menunjukkan bahawa kata “yang” dan “that” mempunyai makna dan fungsi yang sama dalam data yang kami kaji.

Namun begitu, terdapat juga keadaan di mana kata “yang” dan “that” tidak digunakan pada masa yang sama. Hal ini dapat kami buktikan melalui peratus kekerapan kedua-dua kata ini dalam keempat-empat artikel yang kami kaji iaitu artikel bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Dalam artikel berbahasa Melayu kata “yang” muncul sebanyak 46 kali iaitu 3.39%. Manakala dalam artikel berbahasa Inggeris, kata “that” hanya muncul sebanyak 13 kali iaitu 0.89%. Hal ini menunjukkan bahawa kata “that” dalam bahasa Inggeris kurang digunakan berbanding kata “yang” dalam bahasa Melayu. Contohnya dapat dilihat melalui ayat berikut

i. "Selain daripada itu, saya tidak mempunyai apa-apa rungutan terhadap khidmat teksi Kuala Lumpur,"katanya.


ii "Other than that, I have no complaints about Kuala Lumpur's taxi service," he added.
Berdasarkan ayat di atas, terbukti bahawa penggunaan kata “that” dalam bahasa Inggeris adakalanya tidak digunakan dalam bahasa Melayu.

Namun, terdapat juga keadaan di mana kata “yang” digunakan dalam bahasa Melayu tidak digunakan dalam bahasa Inggeris. Contohnya dapat dilihat melalui ayat berikut

i. Haneef Khan, dari Yemen yang datang ke Kuala Lumpur untuk aktiviti

ii. Haneef Khan, a tourist from Yemen who came to Kuala Lumpur

Berdasarkan ayat di atas, terbukti bahawa penggunaan kata “yang” dalam bahasa Melayu adakalanya tidak digunakan dalam bahasa Inggeris iaitu “that”. Hal ini juga terbukti melalui peratus kekerapan yang kami perolehi.

5.0 Penutup
Kesimpulannya, berdasarkan daripada kajian yang kami dapati melalui data yang dikumpul, penggunaan kata “yang” dalam bahasa Melayu adalah bersinonim dengan penggunaan kata “that” dalam bahasa Inggeris. Namun, melalui peratus kekerapan yang kami kaji didapati bahawa adakalanya penggunaan kata “yang” dalam bahasa Melayu tidak digunakan dalam bahasa Inggeris iaitu “that” dalam konteks yang sama dan begitulah sebaliknya.



Bibliografi

Hornby. AS. (2005). Oxford Advanced Learner’s Dictionary. New York: Oxford University Press.

Nik Safiah Karim. Et all. (2006). Tatabahasa Dewan Edisi Baharu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Parker. F. (1994). Linguistik Untuk Bukan Ahli Linguistik. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Radiah Yussoff dan Nor ‘Aini Ismail. (2005). Linguistik Pengenalan. Petaling Jaya: Pearson Prentice Hall.

________. (2005). Kamus Dewan Edisi Keempat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Artikel

http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsfeatures.php?id=384078. [16 Januari 2009]


Wikipedia. 5 Mac 2008. sinonim. <
http://ms.wikipedia.org/wiki/Sinonim>. [16 Januari 2009].



5. Husna Hasan

17. Nur Najwa Hanim A.Rani

















No comments:

Post a Comment